Friday, June 13, 2014

PD Back To Nature Trail Run N.Sembilan 2014 - Top 10 Results

Date: 8 Jun 2014







PORT DICKSON BACK TO NATURE TRAIL RUN 2014
Laluan sejauh 7km melintasi laluan hutan dara Negeri Sembilan, menggalakkan pertumbuhan acara sukan cintai alam semulajadi.

Buat julung kalinya telah diadakan larian Port Dickson Back To Nature Trail Run 2014 yang berlangsung pada pada 8 Jun bertempat di Pusat Pelancongan Pendidikan (Eco Edutourism), Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson. Acara ini dianjurkan oleh MountDesign Outdoor disokong penuh oleh Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Majlis Perbandaran Port Dickson dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan ini melalui laluan hutan dara Negeri Sembilan, Hutan Simpan Sungai Menyala sejauh 7 kilometer.  

Antara objektif acara ini diperkenalkan adalah untuk menjadikan acara larian sukan lasak ini sebagai salah satu kalendar acara pelancongan sukan di Malaysia yang dapat mempromosikan dan menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negeri berekreasi dan menghayati keindahan hutan hujan tropika termasuklah di Negeri Sembilan. Di samping itu juga, ianya dapat  merancakkan lagi industri pelancongan setempat dengan promosi dan kehadiran pelancong yang hadir di Port Dickson di samping bertujuan mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dengan pendekatan yang diambil oleh pihak penganjur, seramai 720 peserta telah menyahut cabaran malahan peserta dari luar negara seperti Amerika Syarikat, England, Perancis, Afrika Selatan, Indonesia, Kenya, Singapura selain dari Malaysia turut berminat dalam menyertai larian ini yang menawarkan hadiah wang tunai dan barangan sampingan.

Port Dickson Back To Nature Trail Run 2014 melibatkan enam kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran Terbuka, Lelaki Terbuka Antarabangsa, Terbuka Remaja Lelaki dan Wanita sejauh 7km. Jarak yang pendek ini juga memberi peluang kepada mereka yang berkeluarga untuk membawa anak-anak mereka beriadah sambil bersukan dan menikmati keindahan alam semulajadi yang terdapat disini.

Dalam kategori Lelaki Terbuka Antarabangsa, peserta dari Kenya, Lukas Wambua Muteti telah memenangi  tempat pertama dengan masa terpantas 21 minit sahaja manakala bagi kategori Lelaki Terbuka trofi kejuaraan telah digondol oleh Nik Fakaruddin Ismail dengan catatan masa 23 minit. Bagi kategori Wanita Terbuka pula, trofi kejuaraan telah digondol oleh peserta dari Malaysia iaitu Hafizah Mohd Arshad dengan catatan masa 35 minit.

Rata-rata para peserta berpuas hati dengan laluan yang disajikan dengan suasana kehijauan dan keindahan alam disamping dapat menyaksikan sendiri pokok tertua berusia lebih 100 tahun di hutan ini iaitu pokok jelutong setinggi 50 meter dan bergaris pusat 190 sentimeter, yang menjadi tarikan pelancong.

Acara perasmian, majlis penyampaian hadiah dan penutup telah disempurnakan oleh Exco Jawatankuasa Pelancongan dan Kepenggunaan, YB Tun Hairudin Abu Bakar, Encik Baharudin Jali, Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Pengarah Tourism Malaysia Negeri Sembilan, Encik Zaidi Kasim.

Dengan sambutan bagi acara sukan alam semula jadi yang didapati semakin meningkat, penganjur mensasarkan dengan pelaksanaan pelancongan sukan yang mampan dengan tumpuan kepada acara sukan seperti Port Dickson Back To Nature Trail Run 2014 akan menjadi pemacu utama sektor pelancongan sukan pada masa hadapan.

Sekalung penghargaan kepada pihak Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, Majlis Perbandaran Port Dickson dan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan yang telah memberi sokongan serta penaja yang turut sama dalam menjayakan acara yang julung kali diadakan ini seperti Colombia, World of Sport Malaysia, Yeo’s Malaysia, Perskindol, Eirmaiza Food & Supplies, Camil Beauty & Health, Running Malaysia Magazine dan Swim Bike Run Magazine.

Untuk mengetahui maklumat lanjut tentang acara akan datang, bolehlah layari www.facebook.com/mountdesignstore/events.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...